Yah yang mengulas mengenai Natasya Farisya, 28, pondan yang dikaitkan dengan kes pemuda parah disimbah asid, di Kangar, Perlis baru-baru ini, berkata peluang untuk pemuda itu berubah masih terbuka luas kerana dia tidak melakukan pembedahan membuang kemaluan untuk menjadi wanita.
Sambil memohon mereka yang mengalami kekeliruan jantina supaya mengambil iktibar kes arwah anaknya yang genap 44 hari meninggal dunia hari ini, beliau berkata, tiada ibu bapa gembira melihat anak dilahirkan sebagai lelaki, mengubah penampilan dan perwatakan menjadi wanita.
"Bagi saya, Natasya Farisya dan mereka yang sepertinya patut kembali ke pangkal jalan kerana peluang berubah masih ada.
"Mereka yang tak boleh kembali seperti kes arwah anak saya kerana sudah melakukan pembedahan. Kesal dan marah macam mana pun, jika dibunuh sekali pun, tidak boleh diubah kerana sudah terlambat, tetapi Natasya Farisya dan yang senasib dengannya masih boleh diselamatkan lagi.
"Seperti kes arwah Mohd Ashraf, kami sekeluarga tidak tahu dia menukar jantina. Walaupun kami pernah membuangnya kerana marah dengan perbuatannya, akhirnya kami terpaksa reda dan berserah kepada Allah kerana tiada apa boleh dilakukan lagi. Jika kami tahu, perkara itu tidak mungkin berlaku kerana tiada ibu bapa yang gembira melihat anaknya sebegitu," katanya kepada Berita Harian.
Berita Harian sebelum ini melaporkan, Natasya Farisya, yang juga bekas model sambilan dari Taman Sri Bakau, Kangar, Perlis, ditahan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) JAIPs pada 2007 dan 2010, selepas dikesan menyalahi Seksyen 7 Enakmen Jenayah Dalam Syarak Negeri Perlis 1991 kerana berpakaian seperti wanita.
Natasya Farisya atau nama sebenarnya Tabri Rashid Abu Hassan menarik perhatian awam kerana pengakuan terbuka 'teman istimewanya', Mohd Hafizuddin Johari, 20, yang juga mangsa simbahan asid kerana mahu hidup bersama.
Yah berkata, walaupun Natasya Farisya dikatakan mempunyai teman lelaki yang setia ingin bersamanya, tetapi ia hanya bersifat sementara.
Selepas kes arwah Mohd Ashraf dipaparkan media, banyak pihak terutama jabatan kerajaan berkaitan membuka saluran untuk golongan seperti ini kembali ke pangkal jalan.
Namun, saya agak terkilan kerana hasrat pihak terbabit mahu menangani kes seperti dialami arwah Mohd Ashraf kini bagaikan sepi, sedangkan masih ramai yang memerlukan bantuan dan sokongan untuk berubah, katanya.
Sementara itu, Yah berkata, keluarganya tidak menghalang jika ada pihak mahu menerbitkan buku, filem, drama atau dokumentari berkaitan arwah anaknya untuk dijadikan iktibar, tetapi berharap pihak berkenaan memberi sedikit bayaran, supaya dapat dimanfaatkan ke jalan kebaikan.
source : google |
No comments:
Post a Comment